Friday, May 3, 2013

TURKI: LEMBARAN SEJARAH KEBANGKITAN DAN KEJATUHAN ISLAM

  

Assalamualaikum,,
Kita pernah menangisi keruntuhan dan kejatuhan sebuah empayar besar yang pernah menaungi seisi dunia satu ketika dahulu. Sudah genap 89 tahun empayar yang gemilang ini tersungkur rebah di tengah-tengah jantung dunia. Empayar yang ulung, menaungi benua Eropah, Asia, dan Afrika.
Selama lebih 600 tahun empayar ini berdiri teguh, menyinari sebahagian besar bumi ini dengan cahaya Islam. Bukan itu saja, ia juga telah mencorakkan ketamadunan dunia ketika itu dan menjadi batu asas kepada peradaban manusia sejagat. Lokasinya yang meliputi kawasan Eurasia dan Afrika, disamping pembawaan Islam yang syumul menyebabkan ketamadunan yang dibina bersifat universal, menyentuh hati masyarakat Rome, Balkan, Arab, Asia, Parsi dan Turki sendiri.
Naik turun dan jatuh bangunnya tamadun ini masih segar dalam nostalgia kita umat Islam. Sebagai sebuah tamadun yang termasuk dalam kitar sejarah, ia tak lekang daripada kekurangan dan kekhilafan. Disinilah bergunanya sejarah, agar kita dapat melihat kembali dan merenung untuk mencorak masa depan yang lebih gemilang.
Mari kita merenung kembali, lembaran sejarah jatuh bangunnya empayar agung ini, agar kita semua merasa izzah dan terinspirasi dengannya, lantas mengambil ibrah daripada kekurangannya. Moga bermanfaat.
Wilayah Uthmaniyyah
Wilayah Uthmaniyyah

Era Pengasasan (1299-1389)

Empayar Uthmaniyyah, tidak seperti empayar-empayar lain yang berdiri kerana ingin meluaskan jajahan atau mengaut kekayaan atau merakus kekuasaan. Empayar ini dibina atas dasar syahadatul haq, untuk memakmurkan bumi ini daripada kezaliman manusia, dengan Islam.
Inilah perjuangan asal yang dibawa oleh Osman Ertuğrul, yang memulakan harakah Islam yang disebut sebagai Osman Ghazi. Osman Ghazi ialah satu gerakan untuk menyebarkan  Islam di sekitar wilayah Anatolia, dikalangan masyarakat Turki. Ia dimulai oleh Osman Ertuğrul dan diikuti oleh pengikut-pengikutnya yang setia, yang menggelarkan diri mereka Ghazi. Di sinilah bermulanya gerakan Osman Ghazi.
Osman  Ertuğrul
Osman Ertuğrul a.k.a. Sultan Osman I
Seperti juga golongan ansorullah dari kalangan hawariyyun pimpinan Nabi Isa a.s. dan juga golongan sahabat yang dipimpin Rasulullah s.a.w., Osman Ertuğrul memulakan gerakannya dengan mengumpulkan qaedah sulbah (golongan teras) yang setia dan kental. Mereka inilah yang menjadi tapak (foundation) yang kokoh bagi terbinanya sebuah daulah yang agung.
Wilayah Anatolia sentiasa tersepit dengan ancaman kerajaan Byzantine di bahagian barat dan juga Mongol di bahagian Timur. Disebabkan terhimpit dengan situasi ini, gerakan Osman Ghazi memulakan jihad melawan kedua-dua kuasa ini. Satu demi satu wilayah kejayaan dicapai sehinggalah mereka berjaya menawan kota Bursa daripada cengkaman Byzantin. Osman Ertuğrul diangkat menjadi pemerintah dan menamakan dirinya Sultan Osman I. Sultan Osman menjadikan Bursa sebagai pusat pemerintahan. Dari sinilah munculnya kuasa baru yang bakal merubah sejarah, menumpaskan kekuasaan Rome Timur dan Rome Barat.

Era Perluasan (1389-1453)

Dalam era ini, kerajaan Uthmaniyyah yang dipimpin Sultan Murad I mula meluaskan pemerintahan sehingga ke wilayah Balkan. Pada tahun 1389 tercetuslah Perang Kosovo yang menyebabkan sebahagian wilayah Serbia menjadi sebahagian daripada kerajaan Uthmaniyyah. Balkan yang sebelum itu diperintah oleh Kerajaan Serbia tidak pernah aman kerana persengketaan yang berlarutan antara penganut Kristian Orthodox dan Kristian Katolik. Selepas kemenangan ini, Islam mula berkembang ke wilayah itu dan muncullah bangsa Bosniak yang kekal Muslim hingga hari ini.
Selepas menakluk Serbia, Sultan Beyazid memimpin umat Islam menakluki Bulgaria. Perang Nicopolis tercetus. Perang ini juga disebut sebagai Perang Salib Nicopolis kerana seluruh kekuatan Kristian Katolik bersatu menentang perluasan kuasa oleh kerajaan Uthmaniyyah. Kerajaan Roman Katolik, Hungary, Perancis, Poland, Scotland, Switzerland, Vanesia, Genova dan Wallachia turun bersatu bersama kerajaan Bulgaria. Walaupun berdepan gabungan tentera bersekutu yang banyak, perang ini berakhir dengan kemenangan umat Islam yang akhirnya berjaya membuka kota Sofia di Bulgaria.
Perang Nicopolis yang juga digelar Perang Salib
Perang Nicopolis yang juga digelar Perang Salib
Walaupun telah menguasai sebahagian wilayah-wilayah Balkan dan Bulgaria yang majoriti penganutnya ialah Kristian Katolik dan Orthodox, kerajaan Uthmaniyyah tidak memaksa penduduk wilayah tersebut memeluk Islam. Namun, sebilangan besar mereka di Bosnia, Macedonia dan Albania memeluk Islam dan hidup harmoni bersama Katolik dan Orthodox. Satu keharmonian yang tak pernah dicapai sebelum ini.

Era Kekuasaan (1453-1566)

Selepas Serbia dan Bulgaria dikuasai, ia memberikan tekanan yang kuat terhadap kerajaan Byzantin yang berpengkalan di Constantinople. Kota Constantinople tersepit ditengah-tengah. Ini memberi peluang kepada peristiwa pembukaan kota agung itu oleh Sultan Muhammad II yang digelar Al-Fatih. Dari sinilah bermula era keagungan Empayar Uthmaniyyah yang memimpin seluruh dunia, mengabdikan diri kepada kekuasaan Allah s.w.t.
Dengan kemengangan ini, ia telah membuka ruang yang luas untuk Islam menembusi seluruh benua Eropah. Sejak itu, satu demi satu wilayah tunduk menyatakan ketundukan kepada kekuasaan Islam sehingga seluruh wilayah Balkan (Bosnia, Serbia, Albania, Slovenia, Croatia, Macedonia, Greece) berada di bawah pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fatih. Semenjak itu, berbondong-bondong orang Eropah yang berbangsa Slavia memeluk Islam, dan ia kekal hingga ke hari ini.
Pembukaan Constantinople (Istanbul) oleh Sultan Muhammad Al-Fatih
Pembukaan Constantinople (Istanbul) oleh Sultan Muhammad Al-Fatih
Sultan Sulaiman The Magnificent menyambung legasi Sultan Muhammad Al-Fatih dengan perluasan empayar ke wilayah-wilayah Eropah, Asia dan Afrika. Baginda memimpin armada laut yang terbesar pernah disaksikan oleh dunia ketika itu. Armada laut Uthmaniyyah menjadi kegerunan kuasa-kuasa dunia ketika itu. Pada era Sultan Sulaiman, seluruh dunia Islam bersatu dibawah sebuah pemerintahan yang berpusat di Istanbul.
Iraq, Parsi, Syam, Parsi, semenanjung Arab, Algeria, Tunisia, Libya, sebahagian Perancis, Hungary, Austria, Asia Tengah, bahkan wilayah Nusantara bersatu dibawah satu panji pemerintahan Islam yang agung.

Era Kejatuhan (1683-1908)

Setelah kemangkatan Sultan Sulaiman The Magnificent, pengganti baginda Sultan Mehmet IV cuba meluaskan kuasa ke Vienna, Austria. Vienna ketika itu ialah ibu kota Roman Empire. Keberangkatan tentera Uthmaniyyah ke Vienna menyebabkan Perang Vienna 1683 tercetus. Perang berlanjutan selama berbulan-bulan. Tentera Uthmaniyyah mengepung kota Vienna di Gate of Vienna sehingga pertempuran berlaku. Tentera Uthmaniyyah telah tewas dalam perang ini. Kekalahan ini telah meningkatkan moral kuasa-kuasa Eropah yang lain untuk bangkit menentang Empayar Uthmaniyyah dan menakluk wilayah-wilayahnya.
Perang Vienna 1683 yang menyebabkan kekuatan Empayar Uthmaniyyah mula lemah.
Perang Vienna 1683 yang menyebabkan kekuatan Empayar Uthmaniyyah mula lemah.
Bermula saat ini, Empayar Uthmaniyyah sedikit demi sedikit mula runtuh dan mengecil. Satu demi satu wilayah Uthmaniyyah jatuh ke tangan kuasa penjajahan lain seperti Perancis, British, Austro-Hungary dan Rusia.
Selain itu, banyak wilayah-wilayah lain yang bangkit atas semangat nasionalisme kebangsaan, menuntut pembebasan daripada kekuasaan Uthmaniyyah. Wilayah-wilayah Arab-Islam yang disuntik semangat nasionalisme Arab bangkit menentang ketuanan khalifah yang berbangsa Turki.
Arab Revolt pimpinan Sharif Hussein (Amir Mekah) dengan bantuan T.E. Lawrence dan tentera British  menyebabkan negara-negara Arab keluar daripada kerajaan Uthmaniyyah
Arab Revolt pimpinan Sharif Hussein (Amir Mekah) dengan bantuan T.E. Lawrence (Lawrence of Arabia) dan tentera British menyebabkan negara-negara Arab keluar daripada kerajaan Uthmaniyyah
Faktor-faktor dalaman seperti pergolakan politik, kemewahan yang melampau, kezaliman pemerintah dan wakil pemerintah, rasuah, perpecahan, perebutan kuasa juga menjadi sebab kejatuhan empayar yang hebat ini.
Selain itu, agenda musuh yang berjaya menyelinap masuk ke dalam pemerintahan tertinggi khilafah melemahkan lagi institusi khalifah Uthmaniyyah ketika itu.

Lenyapnya Empayar Uthmaniyyah (1908-1924)

Keterlibatan Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama dan Perang Rusia-Turki disamping perang-perang lain menyebabkan Uthmaniyyah semakin tenat, sehingga digelar‘Sick People of Europe‘. Kerajaan terpaksa menanggung hutang yang menggunung tinggi selain urus tadbir yang tidak cekap.
Selain itu, muncul golongan muda yang menggelar diri mereka The Young Turks. Kumpulan ini memulakan gerakan pembaharuan dalam masyarakat Turki dengan menyebarkan idea-idea pemodenan. Mereka memperjuangkan pemerintahan Turki yang bebas daripada Islam dan mengikut sistem Barat untuk mencapai kemajuan. Suara-suara mereka agak vokal dalam pemerintahan khilafah ketika itu kerana mempunyai tokoh-tokoh besar dalam institusi kerajaan.
The Young Turks
The Young Turks
Antara tokoh terhebat mereka ialah Mustafa Kamal, yang berada dalam pemerintahan tertinggi tentera Uthmaniyyah ketika itu. Mustafa Kamal cuba mengurangkan kuasa Sultan dengan menubuhkan parlimen dan diangkat mengetuai parlimen tersebut.
Setelah memperoleh kuasa di parlimen, Mustafa Kamal memperjuangkan supaya institusi khalifah dimansuhkan dan diganti dengan sistem yang digunapakai di Barat. Disebabkan kekuatan dan sokongan yang masih ada pada Sultan Abdul Hamid II ketika itu, rancangan Mustafa Kamal gagal.
Namun beliau tidak berputus asa, lantas terus mencuba dan mendapatkan lobi daripada kuasa luar. Sultan Abdul Hamid II kemudiannya digantikan dengan sultan ‘boneka’ selepas beberapa konspirasi direkayasa. Akhirnya, kuasa khalifah secara rasmi dimansuhkan pada tanggal 3 Mac 1924. Sultan Abdülmecid II, khalifah yang terakhir dipecat daripada jawatannya dan muncullah negara Turki yang dipimpin oleh Mustafa Kamal Ataturk.

Runtuhnya Khilafah, Hilanglah Izzah

Begitulah secara ringkas kronologi kebangkitan dan kejatuhan sebuah tamadun agung yang pernah memimpin sebahagian besar masyarakat dunia. Dengan kewujudan khilafah yang kuat, umat Islam bersatu dibawah satu panji, dinaungi dan dilindungi dengan kemuliaan.
Hari ini, umat bagai diratah mentah di segenap penjuru dunia. Tiada lagi izzah dan maruah.
Lambang Empayar Uthmaniyyah
Lambang Empayar Uthmaniyyah

Bersamalah Gelombang Dakwah

Pada tahun 1928, muncul sebuah gerakan yang dipimpin oleh Hasan Al-Banna untuk mengembalikan semula kegemilangan khilafah Islam yang pernah kita kecapi satu ketika dahulu. Gerakan yang subur ini menjadikan dakwah sebagai agenda utama bagi merealisasikan impian ini.
Sesungguhnya impian ini pasti akan berlaku. Inilah janji yang telah tertulis dalam kalam Allah dan Rasulnya s.a.w. Keagungan Islam pasti akan berlaku. Sejarah kebangkitan Empayar Uthmaniyyah ini pasti akan berulang.
Persoalannya, di mana posisi kita dalam kebangkitan ini?





"SEJARAH PASAK TAMADUN SEJAGAT"

1 comment:

  1. agama islam tetap dijulang, selagi roh islam masih ada dalam jiwa setiap hamba...oleh itu pembina roh itu mesti bermula dari awal, dimana kita perlu didik dan mendidik dengan cara yang betul untuk membangunkan ummah yang utuh imannya, sebelum membina negara yang kuat benteng agamanya

    ReplyDelete