Assalamualaikum,,
Tajuk Entry kali ini, kami akan memperkenalkan serba sedikit mengenai Tokoh islam yang amat dikenali ramai,,siapa yang tidak mengenali AL-FARABI? namanya sering kita dengar..tapi kita kurang ingin mengetahui kenapa namanya disebut sehingga sekarang? jom kita kenali beliau...
Selepas beberapa waktu, beliau berpindah ke Damsyik sebelum
meneruskan perjalanannya ke Halab. Semasa di sana, beliau telah berkhidmat di
istana Saif al-Daulah dengan gaji empat dirham sehari. Hal ini menyebabkan dia
hidup dalam keadaan yang serba kekurangan.
Al-Farabi terdidik dengan sifat qanaah menjadikan beliau
seorang yang amat sederhana, tidak gilakan harta dan cintakan dunia. Beliau
lebih menumpukan perhatian untuk mencari ilmu daripada mendapatkan kekayaan
duniawi. Sebab itulah Al-Farabi hidup dalam keadaan yang miskin sehingga beliau
menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 950M (339H).
Walaupun Al-Farabi merupakan seorang yang zuhud tetapi
beliau bukan seorang ahli sufi. Beliau merupakan seorang ilmuwan yang cukup
terkenal pada zamannya. Dia berkemampuan menguasai pelbagai bahasa.
Selain itu, dia juga merupakan seorang pemuzik yang handal.
Lagu yang dihasilkan meninggalkan kesan secara langsung kepada pendengarnya.
Selain mempunyai kemampuan untuk bermain muzik, beliau juga telah mencipta satu
jenis alat muzik yang dikenali sebagai gambus.
Kemampuan Al-Farabi bukan sekadar itu, malah beliau juga
memiliki ilmu pengetahuan yang mendalam dalam bidang perubatan, sains,
matematik, dan sejarah. Namun, keterampilannya sebagai seorang ilmuwan yang
terulung lebih dalam bidang falsafah. Bahkan kehebatannya dalam bidang ini
mengatasi ahli falsafah Islam yang lain seperti Al-Kindi dan Ibnu Rusyd.
Dalam membicarakan teori politiknya, beliau berpendapat
bahawa akal dan wahyu adalah satu hakikat yang padu. Sebarang percubaan dan
usaha untuk memisahkan kedua-dua elemen tersebut akan melahirkan sebuah negara
yang pincang serta masyarakat yang kacau-bilau. Oleh itu, akal dan wahyu perlu
dijadikan sebagai dasar kepada pembinaan sebuah negara yang kuat, stabil serta
makmur.
Al-Farabi banyak mengkaji mengenai falsafah dan teori
Socrates, Plato, dan Aristotle dalam usahanya untuk menghasilkan teori serta
konsep mengenai kebahagiaan. Maka tidak hairanlah, Al-Farabi dikenali sebagai
orang yang paling memahami falsafah Aristotle. Dia juga merupakan seorang yang
terawal menulis mengenai ilmu logik Yunani secara teratur dalam bahasa Arab.
Meskipun pemikiran falsafahnya banyak dipengaruhi oleh
falsafah Yunani tetapi beliau menentang pendapat Plato yang menganjurkan konsep
pemisahan dalam kehidupan manusia.
Menurut Al-Farabi, seorang ahli falsafah tidak seharusnya
memisahkan dirinya daripada sains dan politlk. Sebaliknya perlu menguasai
kedua-duanya untuk menjadi seorang ahli falsafah yang sempurna.
Tanpa sains, seorang ahli falsafah tidak mempunyai cukup
peralatan untuk diekspolitasikan untuk kepentingan orang lain. Justeru, seorang
ahli falsafah yang tulen tidak akan merasai sebarang perbezaan di antaranya
dengan pemerintah yang tertinggi kerana keduanya merupakan komponen yang saling
lengkap melengkapi. Dalam hal ini beliau mencadangkan agar diwujudkan sebuah
negara kebajikan yang diketuai oleh ahli falsafah.
Pandangan falsafahnya yang kritikal telah meletakkannya
sebaris dengan ahli falsafah Yunani yang lain. Dalam kalangan ahli falsafah
Islam, beliau juga dikenali sebagai Aristotle kedua. Bagi Al-Farabi, ilmu
segala-galanya dan para ilmuwan harus diletakkan pada kedudukan yang tertinggi
dalam pemerintahan sesebuah negara.
Pandangan Al-Farabi ini sebenarnya mempunyai persamaan
dengan falsafah dan ajaran Confucius yang meletakkan golongan ilmuwan pada tingkat
hierarki yang tertinggi di dalam sistem sosial sesebuah negara.
Di samping itu, Al-Farabi juga mengemukakan banyak pandangan
yang mendahului zamannya. Antaranya beliau menyatakan bahawa keadilan itu
merupakan sifat semula jadi manusia, manakala pertarungan yang berlaku antara
manusia merupakan gejala sifat semula jadi tersebut.
Pemikiran, idea, dan pandangan Al-Farabi mengenai falsafah
politik terkandung dalam karyanya yang berjudul "Madinah
al-Fadhilah". Perbicaraan mengenai ilmu falsafah zaman Yunani dan falsafah
Plato serta Aristotle telah disentuhnya dalam karya " Ihsa* al-Ulum"
dan "Kitab al-Jam".
Terdapat dua buku tidak dapat disiapkan oleh Al-Farabi di
zamannya. Buku-buku itu ialah "Kunci Ilmu" yang disiapkan oleh anak
muridnya yang bernama Muhammad Al Khawarismi pada tahun 976M dan "Fihrist
Al-Ulum" yang diselesaikan oleh Ibnu Al-Nadim pada tahun 988M.
Al-Farabi juga telah menghasilkan sebuah buku yang
mengandungi pengajaran dan teori muzik Islam, yang diberikan judul
"Al-Musiqa" dan dianggap sebagai sebuah buku yang terpenting dalam
bidang berkenaan.
Sebagai seeorang ilmuwan yang tulen, Al-Farabi turut
memperlihatkan kecenderungannya menghasilkan beberapa kajian dalam bidang
perubatan. Walaupun kajiannya dalam bidang ini tidak menjadikannya masyhur
tetapi pandangannya telah memberikan sumbangan yang cukup bermakna terhadap
perkembangan ilmu perubatan di zamannya.
Salah satu pandangannya yang menarik ialah mengenai betapa
jantung adalah lebih penting berbanding otak dalam kehidupan manusia. Ini
disebabkan jantung memberikan kehangatan kepada tubuh sedangkan otak hanya
menyelaraskan kehangatan itu menurut keperluan anggota tubuh badan.
Sesungguhnya Al-Farabi merupakan seorang tokoh falsafah yang
serba boleh. Banyak daripada pemikirannya masih relevan dengan perkembangan dan
kehidupan manusia hari ini. Sementelahan itu, pemikirannya mengenai politik dan
negara banyak dikaji serta dibicarakan di peringkat universiti bagi mencari
penyelesaian dan sintesis terhadap segala kemelut yang berlaku pada hari ini.
"SEJARAH PASAK TAMADUN SEJAGAT"
0 comments:
Post a Comment