Thursday, July 11, 2013

BICARA SISWI : ADAM ACUANKU

Salam Makluman Kepada semua mahasiswi UniSZA
BICARA SISWI : ADAM ACUANKU (KHAS UNTUK SISWI SAHAJA ) MPP UniSZA dengan Kerjasama SEJATI dan PMUS, akan menganjurkan satu lagi program iaitu BICARA SISWI : ADAM ACUANKU. 

Berikut adalah butiran program :-
Hari : Jumaat
Tarikh : 12 Julai 2013 ( 3 Ramadan 1434 h)
Masa : 8. 00 PAGI -10.00 PAGI
Tempat : Dewan Kuliah Utama ( DKU UniSZA )
Panel : Adibah Rozain, JUARA DAIE MILINEA TV3 


JOM SISWI...

PENUHKAN DKU HARI JUMAAT INI.. AMBIL BERKAT RAMADHAN DALAM KITA MENUNTUT ILMU ALLAH!! AYUH MAHASISIWI!!

"SEJARAH PASAK TAMADUN SEJAGAT "


Tuesday, July 9, 2013

PROGRAM AMBANG RAMADHAN : BERSEDIAKAH AKU?

Assalamualaikum,, Alhamdullilah,,syukur kehadrat illahi kerana dengan limpah dan inayahnya,,satu lagi program MPP dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Sejarah dan Tamadun Islam telah berjaya dilaksanakan pada tarikh 6 julai 2013 (sabtu) bersempena ambang Ramadhan yang bakal menjelma tidak lama lagi bertempat di Speaker Corner UniSZA. Program Ambang Ramadhan ini diberi nama " BERSEDIAKAH AKU?" yang disampaikan oleh  Ustaz Wan Hishamudin bin Wan Jusoh dri Pusat Pengajian Usuluddin bertujuan untuk memberi gambaran kepada kita semua berkenaan Persediaan kita sebagai umat islam untuk menyambut Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi..

Alhamdullilah,, ramai yang turun hadir bersama-sama kami untuk mengimarahkan lagi Majlis Ilmu yang jarang-jarang sekali dilakukan di Speaker Corner..dan kami melakukan sedikit kelainan dimana ceramah diberi dalam bentuk seakan-akan Forum,,cuma ada seorang moderator dan seorang Panel..dan Alhamdullilah sedikit sebanyak  berjaya menarik minat Mahasiswa/Mahasiswi yang turun ke kafe baru.. 




Program ini juga diceriakan lagi dengan kehadiran Barisan Penasyid Persatuan Mahasiswa Sejarah Dan Tamadun Islam diawal Majlis dan diakhir Majlis..

Kami berharap Moga-moga Program ini mampu memberi sedikit sebanyak pencerahan kepada kita semua,,sejauh manakah Persediaan kita semua dalam menyambut bulan Ramadhan... Fikir-fikirkan dan selamat Beramal.. ^_^

Salam Ramadhan Al-Mubarak,




"SEJARAH PASAK TAMADUN SEJAGAT" 

Sunday, June 30, 2013

TAJDID NIAT: MENINGKATKAN POTENSI MAHASISWA

Assalamualaikum..Alhamdullilah syukur kehadrat illahi,, pada 27 JUN 2013 telah berlangsung satu program yang diberi nama  TAJDID NIAT: MENINGKATKAN POTENSI MAHASISWA bertempat di Dewan Kuliah Utama (DKU) Anjuran MPP UniSZA dengan kerjasama PERSATUAN MAHASISWA SEJARAH DAN TAMADUN ISLAM..

Program Tajdid Niat ini berkaitan tujuan dan niat sebenar seorang mahasiswa/wi berada di dalam Universiti serta cara untuk mereka memperbetulkan semula tujuan bergelar seorang mahasiswa/wi. Program ini adalah salah satu langkah untuk mengajak mahasiswa/wi mengetahui tanggungjawab mereka yang sebenar sebagai seorang mahasiswa/wi selain menikmati kehidupan yang bebas setelah bertahun terikat dengan sekolah. Walaupun pengkhususan ini tampak lebih menyerlah kepada mahasiswa/wi yang baru sahaja menjejakkan kaki ke alam kampus seperti mahasiswa/wi semester 1, mahasiswa/wi lain juga mendapat ilmu dan pendedahan untuk mereka ‘memperbaharui’ tujuan sebenar mereka di dalam Universiti.


Program bermula dengan bacaan doa dan Asmaul Husna. Seterusnya program diserahkan kepada penceramah Puan Lailatul Jum’ati Binti Mohd(Pegawai Psikologi UniSZA)untuk melakukan sesi syarahan dan aktiviti. Program ini menggunakan konsep yang agak berbeza iaitu ceramah dua hala bertujuan untuk memberi nafas baru kepada mahasiswa/wi yang hadir. Program berakhir pada jam 11.00 malam.

Kami Berharap Program ini memberi kesan terutama kepada mahasiswa/wi baru untuk mereka menetapkan niat dan tujuan berada di Universiti. Begitu juga dengan mahasiswa/wi yang lain dimana mereka masih belum terlambat untuk memperbetulkan semula tujuan menjadi seorang mahasiswa/wi.

Sekian...




"SEJARAH PASAK TAMADUN SEJAGAT"

Wednesday, June 12, 2013

SYA'BAN: ADA APA DENGAN BULAN ITU?

 SEJARAH DAN PERISTIWA PENTING PADA BULAN SYA'BAN


1. Malam Nisfu Sya'ban

Dari Abi Hurairah ra dari Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya : 
“Telah datang Jibril a.s pada malam Nisfu Sya'ban dan dia berkata , Ya Muhammad,pada malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka, maka berdirilah dan kerjakan sembahyang lalu angkatlah kepalamu dan kedua tanganmu ke langit !” 

Kata saya (Nabi Muhammad) :
“Hai Jibril, apakah Erti malam ini ?” 

Dia (Jibril) menjawab: 
“Pada malam ini telah dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah telah mengampuni orang-orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir, bomoh hitam, orang-orang yang suka permusuhan/ pergaduhan, peminum arak, orang-orang yang berbuat zina, pemakan riba, orang-orang yang derhaka kepada kedua orang tua, orang-orang yang suka mengadu domba (batu api) dan orang-orang yang memutuskan tali persaudaraan, maka sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni kesalahannya sehingga mereka mahu bertaubat dan tidak akan mengulang lagi atas perbuatannya itu.”

Maka pergilah Nabi Muhammad SAW untuk mengerjakan sembahyang serta menangis di dalam sujudnya dengan membaca :
 “Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari seksaMu dan murka Mu dan aku tidak menghitung-hitung pujian kepadaMu, sebagaimana Engkau memuji kepadaMu sendiri, maka segala puji bagiMu
sehingga Engkau redha.” 

Dipetik dari Kitab Zubdatul Wa’idzin.

2. Penukaran Arah Kiblat

Pada awal diwajibkan perintah solat kepada umat Islam, Rasulullah SAW dan para sahabat berkiblatkan Baitul Muqaddis. Ini telah menjadi satu kontraversi pada waktu itu. Umat Yahudi telah mendakwa bahawa agama mereka adalah benar dan diredhai oleh Allah SWT kerana umat Islam telah meniru arah ibadat mereka iaitu menghadap Baitul Muqaddis.
Umat Islam telah ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan dan ujian. Para Sahabat RA telah mengadu kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW menyuruh mereka agar terus bersabar dengan ujian itu sehinggalah ada perintah baru dari Allah SWT. Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Mendengar tentang apa yang berlaku pada ketika itu. Allah SWT telah mewahyukan agar Rasulullah SAW mengadap ke Baitullah Kaabah.
Sebahagian ulamak sirah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menerima wahyu perintah mengadap Baitullah pada 15 Sya'ban semasa beliau mengimamkan solat. Sebahagian ulamak mengatakan pada solat Asar, ada yang
mengatakan Maghrib dan ada yang meriwayatkan pada solat Isya’. Rasulullah SAW sebagai imam terus mengadap ke Baitullah dan diikuti oleh para sahabat sebagai makmum.

3. Peperangan Bani Mustaliq (Muraisi’)

Bani Mustaliq ialah salah satu puak dari kaum Yahudi. Mereka telah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan berita ini disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh seorang sahabat dari puak badwi. Peperangan ini adalah turutan dari peperangan bani Quraizah, kaum yahudi yang telah dihalau oleh Rasulullah SAW keluar dari Madhinah. Peristiwa ini terjadi pada bulan Syaaban, 5H. Pasukan kaum muslimin dapat melumpuhkan pasukan Bani Mustaliq.
Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada yang ditawan, termasuklah salah seorang putri pemuka Bani Mustaliq yaitu Barrah, yang nama lengkapnya adalah Barrah binti al-Harris bin Dirar bin Habib bin Aiz bin Malik bin Juzaimah Ibnu al-Mustaliq. Al-Harris bin Dirar, ayah Barrah adalah pemimpin Bani Mustaliq. Barrah telah menjadi tawanan perang milik Sabit bin Qais. Disebabkan Barrah ini seorang perempuan yang cerdik, ia meminta untuk dibebaskan dari Sabit bin Qais, setelah diadakan pembicaraan, Sabit bin Qais meminta tebusan yang mahal.
Tetapi, Barrah waktu itu langsung menemui Rasulullah SAW untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya. Kemudian Rasulullah SAW pada waktu itu menyetujui membebaskan Barrah dan menebusnya dari Sabit bin Qais dan terus menikahi Barrah dan Rasulullah SAW mengganti nama Barrah menjadi Juwairiyah. Tindakan Rasulullah SAW ini telah memberi banyak faedah kepada umat Islam ketika itu, diantaranya ialah ramai dikalangan Bani Mustaliq yang memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan di antara umat Islam dan Bani Mustaliq. Juwairah meninggal dunia pada tahun 56H.
FADHILAH BULAN SYA’BAN
Arti Sya’ban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraiysh pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.  Dan apabila Rasulullah SAW datang, beliau mengabadikan nama itu hingga sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Sya’ban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya:
“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Sya’ban?”

Para sahabat menjawab: 
“Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah SAW, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.”

(Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).

Apa keistimewaan malam Nisfu Syaaban?

Malam Nisfu Sya’aban adalah malam dimana buku atau file tentang umur, rezeki kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku yang baru. (pada waktu Maghrib malam itu dibuka buku baru, tutup buku lama yaitu buku tahun lepas)
Dari `Aisyah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya:
 “Tahukah engkau (wahai `Aisyah) apa yang berlaku pada malam ini?” – Malam Nisfu Sya’aban.

Saiyidatina `Aisyah pula bertanya; 
“Apa yang berlaku pada malam ini, Ya Rasulullah? ” 

Baginda menjawab: 
“Pada malam ini akan ditulis perihal tiap-tiap seorang anak Adam yang dilahirkan dalam tahun ini dan pada malam ini juga akan ditulis nama tiap-tiap seorang anak Adam yang akan mati pada tahun ini, demikian juga pada malam ini akan diangkat amal-amal mereka (ke hadrat Ilahi) dan pada malam ini juga akan ditentukan turunnya rezeki mereka.”

Biasanya Allah memberi perhatian kepada langit yang dekat dengan kita pada akhir malam (untuk mendengar permintaan dan keampunan hambanya) Pada Malam Nisfu Syaaban, Allah memberi perhatian terus bila ghuru’(matahari terbenam) dan tidak menunggu akhir malam.
Hadis yang diriwayatkan daripada Ali ra: Apabila tiba malam Nisfu Sya’ban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya, kerana sesungguhnya Allah swt akan turun ke langit dunia pada hari ini bermula dari terbenamnya matahari….
“Allah turun ke langit dunia“, bukanlah bermaksud Allah bergerak atau berpindah sebaliknya ia bermaksud “Allah memberi perhatian kepada langit dunia yang dekat dengan kita (untuk mendengar permintaan dan keampunan hambanya)“
Bulan Sya’ban merupakan bulan kedua selepas Rajab yang penuh dengan keberkahan.
Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Sya’ban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Sya’ban adalah:
  • Memperbanyakkan puasa sunnah Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW. lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.
  • Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahwa Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Sya’ban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid.”
  • Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W.: “Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya didalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit.”

    (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa’izhin)
  • Bertaubat Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: “Manakala masuk bulan Sya’ban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu.”




"SEJARAH PASAK TAMADUN SEJAGAT"

Tuesday, May 28, 2013

AL-FARABI : TOKOH FALSAFAH SERBA BOLEH




Assalamualaikum,,
Tajuk Entry kali ini, kami akan memperkenalkan serba sedikit mengenai Tokoh islam yang amat dikenali ramai,,siapa yang tidak mengenali AL-FARABI? namanya sering kita dengar..tapi kita kurang ingin mengetahui kenapa namanya disebut sehingga sekarang? jom kita kenali beliau... 

Nama sebenarnya Abu Nasr Muhammad Ibnu Muhammad Ibnu Tarkhan Ibnu Uzlaq Al Farabi. Beliau lahir pada tahun 874M (260H) di Transoxia yang terletak dalam Wilayah Wasij di Turki. Bapanya merupakan seorang anggota tentera yang miskin tetapi semua itu tidak menghalangnya daripada mendapat pendidikan di Baghdad. Beliau telah mempelajari bahasa Arab di bawah pimpinan Ali Abu Bakr Muhammad ibn al-Sariy.


Selepas beberapa waktu, beliau berpindah ke Damsyik sebelum meneruskan perjalanannya ke Halab. Semasa di sana, beliau telah berkhidmat di istana Saif al-Daulah dengan gaji empat dirham sehari. Hal ini menyebabkan dia hidup dalam keadaan yang serba kekurangan.

Al-Farabi terdidik dengan sifat qanaah menjadikan beliau seorang yang amat sederhana, tidak gilakan harta dan cintakan dunia. Beliau lebih menumpukan perhatian untuk mencari ilmu daripada mendapatkan kekayaan duniawi. Sebab itulah Al-Farabi hidup dalam keadaan yang miskin sehingga beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 950M (339H).

Walaupun Al-Farabi merupakan seorang yang zuhud tetapi beliau bukan seorang ahli sufi. Beliau merupakan seorang ilmuwan yang cukup terkenal pada zamannya. Dia berkemampuan menguasai pelbagai bahasa.

Selain itu, dia juga merupakan seorang pemuzik yang handal. Lagu yang dihasilkan meninggalkan kesan secara langsung kepada pendengarnya. Selain mempunyai kemampuan untuk bermain muzik, beliau juga telah mencipta satu jenis alat muzik yang dikenali sebagai gambus.

Kemampuan Al-Farabi bukan sekadar itu, malah beliau juga memiliki ilmu pengetahuan yang mendalam dalam bidang perubatan, sains, matematik, dan sejarah. Namun, keterampilannya sebagai seorang ilmuwan yang terulung lebih dalam bidang falsafah. Bahkan kehebatannya dalam bidang ini mengatasi ahli falsafah Islam yang lain seperti Al-Kindi dan Ibnu Rusyd.

Dalam membicarakan teori politiknya, beliau berpendapat bahawa akal dan wahyu adalah satu hakikat yang padu. Sebarang percubaan dan usaha untuk memisahkan kedua-dua elemen tersebut akan melahirkan sebuah negara yang pincang serta masyarakat yang kacau-bilau. Oleh itu, akal dan wahyu perlu dijadikan sebagai dasar kepada pembinaan sebuah negara yang kuat, stabil serta makmur.

Al-Farabi banyak mengkaji mengenai falsafah dan teori Socrates, Plato, dan Aristotle dalam usahanya untuk menghasilkan teori serta konsep mengenai kebahagiaan. Maka tidak hairanlah, Al-Farabi dikenali sebagai orang yang paling memahami falsafah Aristotle. Dia juga merupakan seorang yang terawal menulis mengenai ilmu logik Yunani secara teratur dalam bahasa Arab.

Meskipun pemikiran falsafahnya banyak dipengaruhi oleh falsafah Yunani tetapi beliau menentang pendapat Plato yang menganjurkan konsep pemisahan dalam kehidupan manusia.

Menurut Al-Farabi, seorang ahli falsafah tidak seharusnya memisahkan dirinya daripada sains dan politlk. Sebaliknya perlu menguasai kedua-duanya untuk menjadi seorang ahli falsafah yang sempurna.

Tanpa sains, seorang ahli falsafah tidak mempunyai cukup peralatan untuk diekspolitasikan untuk kepentingan orang lain. Justeru, seorang ahli falsafah yang tulen tidak akan merasai sebarang perbezaan di antaranya dengan pemerintah yang tertinggi kerana keduanya merupakan komponen yang saling lengkap melengkapi. Dalam hal ini beliau mencadangkan agar diwujudkan sebuah negara kebajikan yang diketuai oleh ahli falsafah.

Pandangan falsafahnya yang kritikal telah meletakkannya sebaris dengan ahli falsafah Yunani yang lain. Dalam kalangan ahli falsafah Islam, beliau juga dikenali sebagai Aristotle kedua. Bagi Al-Farabi, ilmu segala-galanya dan para ilmuwan harus diletakkan pada kedudukan yang tertinggi dalam pemerintahan sesebuah negara.

Pandangan Al-Farabi ini sebenarnya mempunyai persamaan dengan falsafah dan ajaran Confucius yang meletakkan golongan ilmuwan pada tingkat hierarki yang tertinggi di dalam sistem sosial sesebuah negara.

Di samping itu, Al-Farabi juga mengemukakan banyak pandangan yang mendahului zamannya. Antaranya beliau menyatakan bahawa keadilan itu merupakan sifat semula jadi manusia, manakala pertarungan yang berlaku antara manusia merupakan gejala sifat semula jadi tersebut.

Pemikiran, idea, dan pandangan Al-Farabi mengenai falsafah politik terkandung dalam karyanya yang berjudul "Madinah al-Fadhilah". Perbicaraan mengenai ilmu falsafah zaman Yunani dan falsafah Plato serta Aristotle telah disentuhnya dalam karya " Ihsa* al-Ulum" dan "Kitab al-Jam".

Terdapat dua buku tidak dapat disiapkan oleh Al-Farabi di zamannya. Buku-buku itu ialah "Kunci Ilmu" yang disiapkan oleh anak muridnya yang bernama Muhammad Al Khawarismi pada tahun 976M dan "Fihrist Al-Ulum" yang diselesaikan oleh Ibnu Al-Nadim pada tahun 988M.

Al-Farabi juga telah menghasilkan sebuah buku yang mengandungi pengajaran dan teori muzik Islam, yang diberikan judul "Al-Musiqa" dan dianggap sebagai sebuah buku yang terpenting dalam bidang berkenaan.

Sebagai seeorang ilmuwan yang tulen, Al-Farabi turut memperlihatkan kecenderungannya menghasilkan beberapa kajian dalam bidang perubatan. Walaupun kajiannya dalam bidang ini tidak menjadikannya masyhur tetapi pandangannya telah memberikan sumbangan yang cukup bermakna terhadap perkembangan ilmu perubatan di zamannya.

Salah satu pandangannya yang menarik ialah mengenai betapa jantung adalah lebih penting berbanding otak dalam kehidupan manusia. Ini disebabkan jantung memberikan kehangatan kepada tubuh sedangkan otak hanya menyelaraskan kehangatan itu menurut keperluan anggota tubuh badan.

Sesungguhnya Al-Farabi merupakan seorang tokoh falsafah yang serba boleh. Banyak daripada pemikirannya masih relevan dengan perkembangan dan kehidupan manusia hari ini. Sementelahan itu, pemikirannya mengenai politik dan negara banyak dikaji serta dibicarakan di peringkat universiti bagi mencari penyelesaian dan sintesis terhadap segala kemelut yang berlaku pada hari ini.






"SEJARAH PASAK TAMADUN SEJAGAT"

Friday, May 24, 2013

MUHAMMAD AL-FATEH : PART 1

“Tidaklah kami pernah melihat ataupun mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad al-Fateh sudah menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad al-Fateh dengan usahanya ini telah mengatasi Alexander The Great!”- Ahli Sejarah Byzantine

Sultan Muhamad al-Fateh dilahirkan pada 27 Rajab 835 Hijrah bersamaan 29 Mac 1432 M dan meninggal dunia pada 3 Mei 1481.
Ketika berumur 19 tahun beliau menaiki takhta menggantikan ayahnya Sultan Murad. Baginda menjadikan Adrianopel (Adana) pusat pemerintahan dan ibu kotanya bagi memudahkan cita-citanya menawan Konstantinopel. Dan ketika berusia 21 tahun Sultan Muhamad al Fateh berjaya menakluk Konstantinopel pada 29 Mei 1453 bersamaan 20 jamadil awal 857 hijrah.

Kota Konstantinopel yang kini dinamakan Istanbul (Islam keseluruhannya), terletak di sempadan antara benua Eropah dengan Asia. Ia dihubungkan oleh Selat Bosphorus. Sebelum itu Kota Konstantinopel pernah cuba ditakluk oleh bangsa Gothik, Parsi, Bulgaria dan Rusia tetapi tidak berjaya. Umat Islam berusaha menawan kota tersebut kerana percaya dengan hadis Rasulullah SAW yang mengatakan Konstantinopel akan ditawan oleh orang Islam.

Setelah lebih 800 tahun hadis itu diucapkan oleh Rasulullah SAW barulah menjadi kenyataan. Seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Abu Ayyub Al-Anshari RA gugur syahid lalu dikebumikan di sisi benteng Konstantinopel.

Sultan Muhammad al-Fateh sejak dalam buaian lagi sudah diisyaratkan bakal mencipta sejarah oleh seorang alim, Syeikh Syamsuddin Al Wali. Beliau pernah berkata kepada Sultan Murad (ayah kepada Muhammad al-Fateh):

“Wahai Sultan Murad, bukan tuanku yang akan membebaskan kota konstantinopel, tetapi anak yang dalam buaian itu,” sambil menunjuk Muhammad al-Fateh yang masih di dalam buaian.

Sejak itu Muhammad al-Fateh dilatih hidup sederhana, dididik dengan ilmu agama dan ilmu peperangan. Beliau membesar sebagai pemuda yang tampan. Bentuk badannya tegap, kuat dan tinggi. Pipinya putih kemerah-merahan dan hidungnya mancung.

Beliau mula menaiki takhta ketika umurnya 19 tahun. Di kala itu baginda sudah begitu arif dengan tipu helah musuh. Pernah Maharaja Konstantinopel mengirim guru-guru terbaik untuk mendidiknya tentang adab dan adat istiadat kehidupan raja-raja, tetapi beliau menolaknya lalu menyuruh guru-guru tersebut pulang.

Kemudian baginda membina benteng yang dinamakan Rumeli Hisarri yang bermaksud benteng orang-orang Rom. Baginda sendiri membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut serta.

Sultan Muhamad al-Fateh menukar nama Kota Konstantinopel kepada Istanbul lalu menjadikan ibu kotanya. Kemudian beliau menakluk Serbia pada tahun 1460 dan Bosnia pada tahun 1462. Seterusnya Sultan Muhamad al Fateh menakluk Italia, Hungari, dan Jerman. Ketika berada dikemuncak kegemilangannya, Sultan Muhamad al Fateh memerintah 25 buah negeri. Kemudian dia membuat persiapan menakluk Rhodesia tetapi meninggal dunia kerana diracun oleh seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa

Sultan Muhammad Al Fateh yang dilahirkan pada 29 Mac 1432 itu telah meninggal dunia pada 3 Mei 1481 ketika berusia 49 tahun.


Friday, May 10, 2013

MESIR: RAHSIA PEMBINAAN PIRAMID



Assalamualaikum,,
Alhamdullilah,,diberi peluang untuk posting pada hari ini, Tajuk entry kali ini ingin membongkar sedikit rahsia pembinaan piramid..Bagaimanakah? Ramai yang tertanya-tanya bagaimana Piramid terbentuk.. dan pelbagai pendapat yang dikeluarkan contohnya: manusia zaman firaun dahulu lebih besar dari manusia zaman sekarang dan mungkin ketinggian mereka sama seperti piramid..betul ke? sebelum timbul pelbagai pendapat yang pelik-pelik jom kita kaji sedikit Rahsia pembinaannya..

Akhbar Amerika Times edisi 1 Disember 2006, telah menyiarkan berita saintifik yang mengesahkan bahawa Firaun telah menggunakan tanah liat untuk membina piramid. Menurut kajian tersebut, disebutkan bahawa batu-batu yang digunakan untuk membuat piramid adalah daripada tanah liat yang dipanaskan sehingga membentuk batuan keras yang sukar dibezakan dengan batu asalnya.

Rahsia Pembinaan Piramid

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan berkatalah Firaun: Wahai kaumku, aku tidak mengetahui Tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah wahai Haman untukku tanah liat kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi agar aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia (Musa) orang-orang pendusta. (al-Qasas: 38).

Daripada penjelasan ayat al-Quran di atas jelaslah bahawa selama ini manusia menjadi hairan dan kagum bagaimanakah bangunan-bangunan yang dibinakan oleh Firaun iaitu piramid dapat berdiri megah dan perkasa di bumi Mesir pada zaman pemerintahannya hingga kini.

Para saintis mengatakan bahawa Firaun mahir dalam bidang ilmu kimia dalam menguruskan tanah liat sehingga menjadi batu. Teknik yang mereka gunakan sangat misteri jika dilihat dari kodifikasi nombor di batu yang mereka tinggalkan.

Profesor Gilles Hug dan Dr. Michael Barsoum, menegaskan bahawa piramid yang paling besar di Giza, dibuat daripada dua jenis batuan yang terdiri daripada batu semula jadi dan batu-batu yang dibuat secara manual hasil daripada olahan tanah liat.

Baru-baru ini majalah Journal of American Ceramic Society memaparkan artikel kajian mengenai bagaimanakah Firaun membina piramid di Mesir yang mengkagumkan itu sebagai peninggalan sejarah tamadun dunia.

Kajian itu menegaskan, bahawa Firaun menggunakan tanah jenis slurry untuk membina monumen yang tinggi, termasuk piramid. Justeru itu tidak mungkin bagi seseorang untuk mengangkat batu besar dan berat ribuan kilogram. Seterusnya pada dasar piramid, Firaun menggunakan batu semula jadi atau batu alam.

Lumpur tersebut merupakan campuran lumpur kapur yang dipanaskan dengan wap air garam dan akan menghasilkan wap air sehingga terbentuknya campuran tanah liat. Kemudian olahan itu dituangkan ke dalam tempat yang disediakan di dinding piramid. Lumpur yang sudah diadun mengikut saiz yang dikehendaki itu dibakar, lalu diletakkan di tempat yang sudah disediakan di dinding piramid.

Sehubungan itu, Profesor Davidovits telah mengambil sampel batu piramid yang terbesar untuk dilakukan analisis dengan menggunakan mikroskop elektron terhadap batu tersebut. Hasilnya, beliau menegaskan bahawa batu itu diperbuat daripada lumpur. Selama ini tanpa penggunaan mikroskop elektron, ahli geologi belum mampu untuk membezakan antara batu alam semula jadi dengan batu buatan manusia.

Penemuan oleh Davidovits adalah hasil kajian yang memakan masa kira-kira 20 tahun. Sebelum kajian yang begitu lama terhadap piramid Bosnia, Piramid Matahari dan menjelaskan bahawa batu-batunya diperbuat daripada tanah liat. Ini memperkuatkan lagi keyakinan bahawa kaedah ini tersebar luas di masa yang lalu.

Tanah liat

Sebelum ini, seorang saintis Belgium, Guy Demortier, telah bertahun-tahun mencari jawapan daripada pembuatan batu besar yang tersergam di puncak-puncak piramid. Beliau berkata:, "Setelah bertahun-tahun melakukan kajian dan penyelidikan, sekarang barulah saya yakin bahawa piramid yang terletak di Mesir diperbuat dengan menggunakan tanah liat."

Bukti-bukti dari kajian menunjukkan kepada kita bahawa bangunan-bangunan raksasa, patung-patung raksasa dan tiang-tiang yang ditemui dalam tamadun canggih zaman silam, juga dibina daripada 'tanah liat'.

Pembongkaran misteri piramid tersebut sudah lama diterangkan didalam al-Quran yang telah berbicara sejak ribuan tahun dahulu sebelum para saintis dan ilmuan dunia menemukan rahsia tersebut.

WaAllahualam..





"SEJARAH PASAK TAMADUN SEJAGAT"

Friday, May 3, 2013

TURKI: LEMBARAN SEJARAH KEBANGKITAN DAN KEJATUHAN ISLAM

  

Assalamualaikum,,
Kita pernah menangisi keruntuhan dan kejatuhan sebuah empayar besar yang pernah menaungi seisi dunia satu ketika dahulu. Sudah genap 89 tahun empayar yang gemilang ini tersungkur rebah di tengah-tengah jantung dunia. Empayar yang ulung, menaungi benua Eropah, Asia, dan Afrika.
Selama lebih 600 tahun empayar ini berdiri teguh, menyinari sebahagian besar bumi ini dengan cahaya Islam. Bukan itu saja, ia juga telah mencorakkan ketamadunan dunia ketika itu dan menjadi batu asas kepada peradaban manusia sejagat. Lokasinya yang meliputi kawasan Eurasia dan Afrika, disamping pembawaan Islam yang syumul menyebabkan ketamadunan yang dibina bersifat universal, menyentuh hati masyarakat Rome, Balkan, Arab, Asia, Parsi dan Turki sendiri.
Naik turun dan jatuh bangunnya tamadun ini masih segar dalam nostalgia kita umat Islam. Sebagai sebuah tamadun yang termasuk dalam kitar sejarah, ia tak lekang daripada kekurangan dan kekhilafan. Disinilah bergunanya sejarah, agar kita dapat melihat kembali dan merenung untuk mencorak masa depan yang lebih gemilang.
Mari kita merenung kembali, lembaran sejarah jatuh bangunnya empayar agung ini, agar kita semua merasa izzah dan terinspirasi dengannya, lantas mengambil ibrah daripada kekurangannya. Moga bermanfaat.
Wilayah Uthmaniyyah
Wilayah Uthmaniyyah

Era Pengasasan (1299-1389)

Empayar Uthmaniyyah, tidak seperti empayar-empayar lain yang berdiri kerana ingin meluaskan jajahan atau mengaut kekayaan atau merakus kekuasaan. Empayar ini dibina atas dasar syahadatul haq, untuk memakmurkan bumi ini daripada kezaliman manusia, dengan Islam.
Inilah perjuangan asal yang dibawa oleh Osman Ertuğrul, yang memulakan harakah Islam yang disebut sebagai Osman Ghazi. Osman Ghazi ialah satu gerakan untuk menyebarkan  Islam di sekitar wilayah Anatolia, dikalangan masyarakat Turki. Ia dimulai oleh Osman Ertuğrul dan diikuti oleh pengikut-pengikutnya yang setia, yang menggelarkan diri mereka Ghazi. Di sinilah bermulanya gerakan Osman Ghazi.
Osman  Ertuğrul
Osman Ertuğrul a.k.a. Sultan Osman I
Seperti juga golongan ansorullah dari kalangan hawariyyun pimpinan Nabi Isa a.s. dan juga golongan sahabat yang dipimpin Rasulullah s.a.w., Osman Ertuğrul memulakan gerakannya dengan mengumpulkan qaedah sulbah (golongan teras) yang setia dan kental. Mereka inilah yang menjadi tapak (foundation) yang kokoh bagi terbinanya sebuah daulah yang agung.
Wilayah Anatolia sentiasa tersepit dengan ancaman kerajaan Byzantine di bahagian barat dan juga Mongol di bahagian Timur. Disebabkan terhimpit dengan situasi ini, gerakan Osman Ghazi memulakan jihad melawan kedua-dua kuasa ini. Satu demi satu wilayah kejayaan dicapai sehinggalah mereka berjaya menawan kota Bursa daripada cengkaman Byzantin. Osman Ertuğrul diangkat menjadi pemerintah dan menamakan dirinya Sultan Osman I. Sultan Osman menjadikan Bursa sebagai pusat pemerintahan. Dari sinilah munculnya kuasa baru yang bakal merubah sejarah, menumpaskan kekuasaan Rome Timur dan Rome Barat.

Era Perluasan (1389-1453)

Dalam era ini, kerajaan Uthmaniyyah yang dipimpin Sultan Murad I mula meluaskan pemerintahan sehingga ke wilayah Balkan. Pada tahun 1389 tercetuslah Perang Kosovo yang menyebabkan sebahagian wilayah Serbia menjadi sebahagian daripada kerajaan Uthmaniyyah. Balkan yang sebelum itu diperintah oleh Kerajaan Serbia tidak pernah aman kerana persengketaan yang berlarutan antara penganut Kristian Orthodox dan Kristian Katolik. Selepas kemenangan ini, Islam mula berkembang ke wilayah itu dan muncullah bangsa Bosniak yang kekal Muslim hingga hari ini.
Selepas menakluk Serbia, Sultan Beyazid memimpin umat Islam menakluki Bulgaria. Perang Nicopolis tercetus. Perang ini juga disebut sebagai Perang Salib Nicopolis kerana seluruh kekuatan Kristian Katolik bersatu menentang perluasan kuasa oleh kerajaan Uthmaniyyah. Kerajaan Roman Katolik, Hungary, Perancis, Poland, Scotland, Switzerland, Vanesia, Genova dan Wallachia turun bersatu bersama kerajaan Bulgaria. Walaupun berdepan gabungan tentera bersekutu yang banyak, perang ini berakhir dengan kemenangan umat Islam yang akhirnya berjaya membuka kota Sofia di Bulgaria.
Perang Nicopolis yang juga digelar Perang Salib
Perang Nicopolis yang juga digelar Perang Salib
Walaupun telah menguasai sebahagian wilayah-wilayah Balkan dan Bulgaria yang majoriti penganutnya ialah Kristian Katolik dan Orthodox, kerajaan Uthmaniyyah tidak memaksa penduduk wilayah tersebut memeluk Islam. Namun, sebilangan besar mereka di Bosnia, Macedonia dan Albania memeluk Islam dan hidup harmoni bersama Katolik dan Orthodox. Satu keharmonian yang tak pernah dicapai sebelum ini.

Era Kekuasaan (1453-1566)

Selepas Serbia dan Bulgaria dikuasai, ia memberikan tekanan yang kuat terhadap kerajaan Byzantin yang berpengkalan di Constantinople. Kota Constantinople tersepit ditengah-tengah. Ini memberi peluang kepada peristiwa pembukaan kota agung itu oleh Sultan Muhammad II yang digelar Al-Fatih. Dari sinilah bermula era keagungan Empayar Uthmaniyyah yang memimpin seluruh dunia, mengabdikan diri kepada kekuasaan Allah s.w.t.
Dengan kemengangan ini, ia telah membuka ruang yang luas untuk Islam menembusi seluruh benua Eropah. Sejak itu, satu demi satu wilayah tunduk menyatakan ketundukan kepada kekuasaan Islam sehingga seluruh wilayah Balkan (Bosnia, Serbia, Albania, Slovenia, Croatia, Macedonia, Greece) berada di bawah pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fatih. Semenjak itu, berbondong-bondong orang Eropah yang berbangsa Slavia memeluk Islam, dan ia kekal hingga ke hari ini.
Pembukaan Constantinople (Istanbul) oleh Sultan Muhammad Al-Fatih
Pembukaan Constantinople (Istanbul) oleh Sultan Muhammad Al-Fatih
Sultan Sulaiman The Magnificent menyambung legasi Sultan Muhammad Al-Fatih dengan perluasan empayar ke wilayah-wilayah Eropah, Asia dan Afrika. Baginda memimpin armada laut yang terbesar pernah disaksikan oleh dunia ketika itu. Armada laut Uthmaniyyah menjadi kegerunan kuasa-kuasa dunia ketika itu. Pada era Sultan Sulaiman, seluruh dunia Islam bersatu dibawah sebuah pemerintahan yang berpusat di Istanbul.
Iraq, Parsi, Syam, Parsi, semenanjung Arab, Algeria, Tunisia, Libya, sebahagian Perancis, Hungary, Austria, Asia Tengah, bahkan wilayah Nusantara bersatu dibawah satu panji pemerintahan Islam yang agung.

Era Kejatuhan (1683-1908)

Setelah kemangkatan Sultan Sulaiman The Magnificent, pengganti baginda Sultan Mehmet IV cuba meluaskan kuasa ke Vienna, Austria. Vienna ketika itu ialah ibu kota Roman Empire. Keberangkatan tentera Uthmaniyyah ke Vienna menyebabkan Perang Vienna 1683 tercetus. Perang berlanjutan selama berbulan-bulan. Tentera Uthmaniyyah mengepung kota Vienna di Gate of Vienna sehingga pertempuran berlaku. Tentera Uthmaniyyah telah tewas dalam perang ini. Kekalahan ini telah meningkatkan moral kuasa-kuasa Eropah yang lain untuk bangkit menentang Empayar Uthmaniyyah dan menakluk wilayah-wilayahnya.
Perang Vienna 1683 yang menyebabkan kekuatan Empayar Uthmaniyyah mula lemah.
Perang Vienna 1683 yang menyebabkan kekuatan Empayar Uthmaniyyah mula lemah.
Bermula saat ini, Empayar Uthmaniyyah sedikit demi sedikit mula runtuh dan mengecil. Satu demi satu wilayah Uthmaniyyah jatuh ke tangan kuasa penjajahan lain seperti Perancis, British, Austro-Hungary dan Rusia.
Selain itu, banyak wilayah-wilayah lain yang bangkit atas semangat nasionalisme kebangsaan, menuntut pembebasan daripada kekuasaan Uthmaniyyah. Wilayah-wilayah Arab-Islam yang disuntik semangat nasionalisme Arab bangkit menentang ketuanan khalifah yang berbangsa Turki.
Arab Revolt pimpinan Sharif Hussein (Amir Mekah) dengan bantuan T.E. Lawrence dan tentera British  menyebabkan negara-negara Arab keluar daripada kerajaan Uthmaniyyah
Arab Revolt pimpinan Sharif Hussein (Amir Mekah) dengan bantuan T.E. Lawrence (Lawrence of Arabia) dan tentera British menyebabkan negara-negara Arab keluar daripada kerajaan Uthmaniyyah
Faktor-faktor dalaman seperti pergolakan politik, kemewahan yang melampau, kezaliman pemerintah dan wakil pemerintah, rasuah, perpecahan, perebutan kuasa juga menjadi sebab kejatuhan empayar yang hebat ini.
Selain itu, agenda musuh yang berjaya menyelinap masuk ke dalam pemerintahan tertinggi khilafah melemahkan lagi institusi khalifah Uthmaniyyah ketika itu.

Lenyapnya Empayar Uthmaniyyah (1908-1924)

Keterlibatan Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama dan Perang Rusia-Turki disamping perang-perang lain menyebabkan Uthmaniyyah semakin tenat, sehingga digelar‘Sick People of Europe‘. Kerajaan terpaksa menanggung hutang yang menggunung tinggi selain urus tadbir yang tidak cekap.
Selain itu, muncul golongan muda yang menggelar diri mereka The Young Turks. Kumpulan ini memulakan gerakan pembaharuan dalam masyarakat Turki dengan menyebarkan idea-idea pemodenan. Mereka memperjuangkan pemerintahan Turki yang bebas daripada Islam dan mengikut sistem Barat untuk mencapai kemajuan. Suara-suara mereka agak vokal dalam pemerintahan khilafah ketika itu kerana mempunyai tokoh-tokoh besar dalam institusi kerajaan.
The Young Turks
The Young Turks
Antara tokoh terhebat mereka ialah Mustafa Kamal, yang berada dalam pemerintahan tertinggi tentera Uthmaniyyah ketika itu. Mustafa Kamal cuba mengurangkan kuasa Sultan dengan menubuhkan parlimen dan diangkat mengetuai parlimen tersebut.
Setelah memperoleh kuasa di parlimen, Mustafa Kamal memperjuangkan supaya institusi khalifah dimansuhkan dan diganti dengan sistem yang digunapakai di Barat. Disebabkan kekuatan dan sokongan yang masih ada pada Sultan Abdul Hamid II ketika itu, rancangan Mustafa Kamal gagal.
Namun beliau tidak berputus asa, lantas terus mencuba dan mendapatkan lobi daripada kuasa luar. Sultan Abdul Hamid II kemudiannya digantikan dengan sultan ‘boneka’ selepas beberapa konspirasi direkayasa. Akhirnya, kuasa khalifah secara rasmi dimansuhkan pada tanggal 3 Mac 1924. Sultan Abdülmecid II, khalifah yang terakhir dipecat daripada jawatannya dan muncullah negara Turki yang dipimpin oleh Mustafa Kamal Ataturk.

Runtuhnya Khilafah, Hilanglah Izzah

Begitulah secara ringkas kronologi kebangkitan dan kejatuhan sebuah tamadun agung yang pernah memimpin sebahagian besar masyarakat dunia. Dengan kewujudan khilafah yang kuat, umat Islam bersatu dibawah satu panji, dinaungi dan dilindungi dengan kemuliaan.
Hari ini, umat bagai diratah mentah di segenap penjuru dunia. Tiada lagi izzah dan maruah.
Lambang Empayar Uthmaniyyah
Lambang Empayar Uthmaniyyah

Bersamalah Gelombang Dakwah

Pada tahun 1928, muncul sebuah gerakan yang dipimpin oleh Hasan Al-Banna untuk mengembalikan semula kegemilangan khilafah Islam yang pernah kita kecapi satu ketika dahulu. Gerakan yang subur ini menjadikan dakwah sebagai agenda utama bagi merealisasikan impian ini.
Sesungguhnya impian ini pasti akan berlaku. Inilah janji yang telah tertulis dalam kalam Allah dan Rasulnya s.a.w. Keagungan Islam pasti akan berlaku. Sejarah kebangkitan Empayar Uthmaniyyah ini pasti akan berulang.
Persoalannya, di mana posisi kita dalam kebangkitan ini?





"SEJARAH PASAK TAMADUN SEJAGAT"